21 October 2016

Skema Kertas 3 Sejarah SPM 2016 : Satu Jangkaan

Ramalkan dasar luar negara pada masa hadapan/ cadangkan halatuju dasar luar negara pada masa kini

Malaysia akan meneruskan dasar luar negaranya dengan mengekalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira blok Barat atau blok Timur.Malaysia juga akan terus mengekalkan dasar berkecuali dalam hubungan luarnya.
Di samping itu Malaysia meneruskan dasar luarnya dengan mengambil kira kepentingan ekonomi yang berkaitan dengan isu-isu perdangan,pelaburan dan pembangunan ekonomi.Ini bertujuan untuk menggalakkan kemasukan modal dan membuka peluang pekerjaan kepadan masyarakat di negara kita.
Negara kita juga meneruskan Dasar Pandang Ke Timur dengan menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai model untuk membangunkan Negara. Malaysia juga terus komited menjalikan hubungan luar dengan membentuk jalinan ekonomi di peringkat ASEAN.
Malaysia juga akan meningkat hubungan bilateral dengan negera-negara  jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand bagi menjaga kepentingan ekonomi dan politik serantau.Begitu juga Malaysia akan terus mengekalkan hubungan dua hala dengan negara Amerika Latin,Afrika,Asia Barat serta negara Maju seperti Britain dan Amerika Syarikat.
Malaysia juga akan mengadakan hubungan multilateral dengan Komanwel, OIC, PBB, NAM, demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan sejagat.Semua ini dilakukan melaui misi lawatan pemimpin ke negara –negara teresebut secara rasmi dan berterusan.Kerajaan Malaysia juga mengadakan misi perdagangan dengan menghantar deligasi perdagangan.Untuk itu Malaysia menandatangani Perjanjian TPPA yang mengambil kira kepentingan ekonomi jangka panjang bagi mencapai misi Negara maju menjelang tahun 2020.
Dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan dunia kekal aman dan harmoni,Malaysia terus komited menyokong segala dasar dan prinsip PBB bagi menyelesaikan pertikaian secara rundingan dan diplomasi.Malaysiaakan tarus memperjuang nasib rakyat Palestein yang di cerobah oleh Israel.Malaysia akan terus berperanan dan bersuara untuk menuntut keadilan pasaran bagi Negara Dunia Ketiga.
Dalam menjaga kepentingan politik dan keselamatan negara , Malaysia dijangka meneruskan komitmennya dengan konsep ZOPFAN yang di persetujui dalam ASEAN.Ini menjadikan negara kita sentiasa menjaga hunbungan baik dan mesra melalui persidangan Ketua-Ketua Kerajaan atau Menteri-Menteri Luar setiap negara.

Pada pendapat anda apakah kesan sekiranya dasar luar negara tidak mantap?

Kesan sekiranya dasar luar negara tidak mantap ialah eksport negara berkurangan  kerana banyak negara tidak mengadakan hubungan luar dengan Malaysia. Ekonomi negara juga merosot dan ini  menyebabkan pendapatan negara merosot.
Pelabur asing tidak akan melabur di dalam negara kerana hubungan luaryang tidak mantap. Hal ini menyebabkan peluang pekerjaan semakin berkurangan dan taraf hidup rakyat merosot. Kesannya Imej negara merosot dan ketamadunan negara akan lenyap.
Politik negara menjadi tidak stabil dan kedaulatan negara akan terancam. Maruah negara akan tergadai kerana kegiatan jenayah merentas sempadan akan meningkat.

Mengapa dasar luar yang mementingkan kemajuan ekonomi lebih penting pada hari ini?

            Kemajuan ekonomi sangat penting dalam penggubalan dasar luar pada hari ini.Keadaan ini penting untuk menjana pendapatan negara melalui kemasukan pelabur asing ke negara kita. Pembukaan kilang-kilang dan ladang-ladang dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat, mengurangkan kadar pengangguran serta meningkatkan taraf hidup rakyat. Selain itu Malaysia merupakan pembekal bahan mentah utama dunia seperti getah dan kelapa sawit.Jadi hubungan dengan negara maju penting untuk memastikan pasaran bahan mentah meningkat dari semasa ke semasa.Seterusnya kerjasama perdagangan antarabangsa juga dapat ditingkatkan. Peningkatan urusan import dan eksport dapat menguntungkan kedua-dua pihak. Apabila Malaysia menjalinkan hubungan luar, ekonomi global dapat berkembang melalui perdagangan bebasdan pertukaran wang asing juga turut meningkat.Keadaan ini dapat meningkatkan kegiatan ekonomi negara seterusnya bersaing di peringkat global.Pemindahan teknologi melalui projek usahasama mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang pesat melalui dasar luar yang diamalkan seperti Dasar Pandang ke Timur.

1   Apakah usaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan negara luar

Antara usaha –usaha yang perlu dilakukan untuk mengekalkan hubungan baik dengan negara luar ialah mengadakan kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan dengan semua negara.Malaysia juga boleh mengadakan pertukaran teknologi dan kepakaran.Contoh dalam pembinaan LRT / MRT, empangan hidro elektrik dan sebagainya.
Negara kita melakukan kerjasama ekonomi dalam bentuk usaha sama antara syarikat multinasional asing dengan syarikat tempatan.Contonya, projek usaha sama industri automobile antara Mitsubishi Corporation dari Jepun dengan Proton dan Kia Motors dari Korea Selatan dengan NAZA Motors Malaysia
Malaysia juga turut memelihara hubungan politik dan  meningkatkan lagi hubungan diplomatik. Malaysia merupakan Negara yang seringkali mengadakan lawatan rasmi ke Negara lain.
 Contohnya pada tahun 2005 Yang di-Pertuan Agong (Raja) Sirajuddin Perlis Malaysia dan Raja Permaisuri Agong (Permaisuri) Tengku Fauziah Perlis melawat Sweden.

Mengadakan mesyuarat / perbincangan sekiranya ada krisis. Saling mengekalkan persefahaman  antara Negara. Mengadakan kerjasama pertahanan contohnya penguatkuasaan Maritim Negara telah berganding bahu dengan Filipina untuk menjayakan Operasi Phillipine-Malaysia (PHIMAL) yang bermatlamat untuk mencegah aktiviti-aktiviti pelanggaran undang-undang maritim di persempadanan perairan Malaysia-Filipina di Laut Sulu. .

Bertukar-tukar pendapat dan pandangan dalam semua isu dan bertindak dengan sebulat suara.Selain itu kita juga turut mengeratkan hubungan serantau dengan ASEAN serta hubungan degan pertubuhan dunia seperti PBB, OIC, Komanwel. Usaha lain dalam mengekalkan hubungan baik ialah menghormati kedaulatan negara lain dengan tidak mencampuri hal ehwal negara tersebut. Contoh di negara yang dilanda peperangan seperti Syria.

Selain itu Malaysia telah memberi bantuan kepada negara yang ditimpa bencana dam mengalami kesusahan. Sebagai contohnya Malaysia telah menyalurkan  bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza / Palestin.Pemimpin negara telah mengadakan lawatan rasmi ke luar negara bagi membincangkan permasalahan politik atau hubungan perdagangan dua hala

Malaysia juga turut mengadakan rancangan pertukaran televisyen, pertukaran pelajar .Contoh drama Korea, rancangan dari Hollywood, Bollywood dll
Usaha lain dalam mengekalkan hubungan baik dengan negara luar ialah dengan menganjurkan persidangan / sukan bertaraf antarabangsa. Contoh Sukan Komanwel,

Malaysia juga menganjurkan persidangan menentang pengganas dan mengelakkan persaingan senjata.Negara kita juga tidak mengeluarkan senjata nuklear.Selain itu kita manyanjungi dan menghayati kedaulatan negara lain. Contohnya kita tidak melanggar dan mencerobohi sempadan negara lain. Malahan Malaysia amat mementingkan hak asasi manusia.

Malaysia juga turut bekerjasama dalam perkongsian budaya antara negara.contohnya Malaysia telah menganjurkan  Festival Makanan, Kraf Tangan dan Budaya Indonesia buat julung kalinya diadakan di Pulau Pinang dengan matlamat untuk mendedahkah budaya tradisin negara jiran tersebut di Malaysia.



   Sejauhmanakah dasar luar Malaysia telah berjaya mengukuhkan perpaduan masyarakat antarabangsa.

Dengan adanya dasar luar Malaysia ia dapat mengukuhkan perpaduan masyarakat antarabangsa. Hal ini berlaku kerana adanya semangat tolong menolong yang amat kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia dengan negara luar tanpa mengira kaum,agama,ideologi dan juga sempadan politik.
Pengukuhan perpaduan ini jelas terbukti ketika malapetaka yang berlaku seperti Tsunami di Acheh dan gempa bumi di Jepun negara kita telah menghantar bantuan perubatan,bantuan kewangan,bantuan menyelamat serta bantuan barangan makanan dan minuman kepada semua mangsa.
Dengan adanya dasar luar Malaysia yang mengutamakan perpaduan, Malaysia pernah menjadi perantaraan menyelesaikan krisis perang Iran-Iraq,krisis selatan Filipina dan sebagainya.
Selain itu juga bagi mewujudkan perpaduan dan keamanan dunia,Malaysia memainkan peranan yang penting dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin mendapatkan semula tanah air mereka  daripada Israel mengikut lunas lunas yang terkandung dalam piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dasar luar Malaysia yang mengutamakan perpaduan masyarakat antarabangsa dapat dibuktikan dengan dasar luar kita yang mengutamakan keamanan dunia melalui keanggotaan Malaysia dalam Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang menekankan prinsip zon aman,bebas dan berkecuali,malah mengutamakan perundingan dan perbincangan secara aman.
Keberkesanan dasar luar kita yang mantap dapat dibuktikan dengan penyertaan tentera kita dibawah panji-panji PBB dengan menghantar tentera pengaman di Bosnia dan juga Lubnan.Penyertaan tentera kita diperingkat antarabangsa ini mendapat penghormatan dari negara-negara lain.
Selain itu juga dengan adanya dasar luar Malaysia ia berjaya mengukuhkan perpaduan masyarakat antarabangsa dengan mewujudkan masyarakat yang saling menyayangi,menghargai antara satu sama dan seterusnya menolak prasangka buruk dikalangan semua negara.

1   
1   Jelaskan cabaran dan  langkah Malaysia  dalam meningkatkan keberkesanan hubungan  dengan negara luar pada era globalisasi hari ini

Cabaran pertama yang dihadapi oleh  negara kita  ialah perbezaan ideologi antara negara mewujudkan  jurang persefahaman yang luas antara negara.Contohnya Malaysia dengan negara-negara Islam yang mengamalkan mazhab yang berbeza.
Cabaran yang kedua ialah cabaran untuk mengekalkan  hak negara. Isu persempadanan yang menjadi rebutan antara negara menyebabkan hubungan menjadi renggang.Contohnya isu Pulau Spratly.
Selain itu, Malaysia juga menghadapi cabaran untuk mengekalkan  kemajuan ekonomi kerana berlaku kejatuhan  nilai mata wang Malaysia.Ini menyebabkan Malaysia tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa.
Seterusnya Malaysia menghadapi cabaran dalam menangani masalan kebergantungan kepada pekerja asing.Keadaan ini menyebabkan kebanjiran tenaga kerja asing dan peluang untuk rakyat tempat  terhad.
Cabaran yang terakhir ialah jenayah  merentasi sempadan.Contohnya penyalahgunaan dadah.Pengedar dadah menjadikan Malaysia sebagai negara transit dan ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang menjadi keldai dadah.
Antara langkah yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk mengatasi cabaran tersebut ialah saling menghormati ideologi serta meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang supaya hubungan  dua hala supaya ideology yang berbeza tidak  menjadi penghalang
Langkah yang kedua mengatasi cabaran ialah  negara-negara yang terlibat hendaklah mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh Mahkamah Dunia.Ini menyebabkan keamanan berjaya diwujudkan.
Seterusnya bagi menghadapi cabaran yang ketiga pula Malaysia perlu mencari medium perantara lain sebagai alat pertukaran untuk berurusan.contohnya dinar emas.
Bagi menghadapi cabaran keempat,penguatkuasaan undang-undang  yang ketat oleh pihak berkuasa supaya kedatangan dan kebergantungan kepada pekerja asing dapat di kawal.Pihak kerajaan dan majikan perlu mengutamakan rakyat Malaysia untuk memenuhi sektor pekerjaan.
Untuk mengatasi cabaran kelima,kerajaan perlu mengadakan kawalan ketat di pintu-pintu masuk negara serta mengenakan hukuman yang ketat kepada pesalah.Selain itu Malaysia juga  mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara lain agar masalah ini dapat di atasi tanpa menjejaskan hubungan dua hala tersebut.

     Iktibar yang diperoleh berdasarkan tajuk yang dikaji     
      Iktibar yang diperoleh berdasarkan tajuk yang dikaji ialah penggubalan dasar luar Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti sejarah, ekonomi, politik, geografi dan demografi.
            Selepas mencapai kemerdekaan, negara kita telah menyertai beberapa pertubuhan antarabangsa dan memainkan peranan secara aktif seperti dalam pertubuhan PBB, Komanwel dan OIC.
            Sebagai rakyat Malaysia, kita harus mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.Kita harus mencontohi ketokohan para pemimpin negara yang memberi sumbangan besar dan mewakili negara dalam pertubuhan antarabangsa.
            Dasar luar yang diamalkan oleh Malaysia akan merealisasikan hasrat negara menjadi sebuah negara maju yang aman dan makmur.
            Rakyat Malaysia harus mengambil iktibar daripada kekacauan dan ketidakharmonian di negara lain yang bergolak dengan mengukuhkan perpaduan demi menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.

Membuat kesimpulan keseluruhan isi yang telah dibincangkan    

(a). Pengetahuan yang diperolehi

(b). Nilai-nilai murni dan unsur patriotisme yang diperoleh  ke arah kemajuan negara dan bangsa Malaysia

(c). Harapan menjadikan bangsa dan negara Malaysia yang cemerlang dan gemilang

Berdasarkan tajuk yang dibincangkan, Malaysia telah bekerjasama dan berperanan penting dalam mewujudkan keamanan sejagat. Dasar luar negara yang menghormati kedaulatan negara lain menyebabkan negara kita dipandang tinggi di mata dunia.
Nilai-nilai murni dan patriotisme yang diperoleh ke arah kemajuan bangsa dan negara ialah sentiasa bekerjasama dan bertoleransi untuk mewujudkan kesejahteraan dunia.
Sebagai rakyat Malaysia, kita berbangga dengan kepimpinan negara yang mendapat pengiktirafan dunia kerana sumbangan mereka dihargai pemimpin luar
Untuk menjadikan bangsa yang cemerlang, kita mestilah menjadi warga global yang bertanggungjawab terutama dalam menghulurkan bantuan misi kemanusiaan.
Dasar-dasar luar Malaysia mampu mengukuhkan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain di dunia melalui amalan semangat setia kawan dan rasional dalam membantu menyelesaikan masalah dunia

Skema Kertas 3 Sejarah SPM 2016 : Satu Analisis


      Jelaskan matlamat dasar luar Malaysia
Dasar luar Malaysia mempunyai matlamat tersendiri iaitu berbaik-baik dengan semua negara.Matlamat dasar luar Malaysia ialah menjamin keselamatan rakyat dan negara dan mengekalkan kedaulatan negara.Selain itu dapat memelihara kepentingan nasional dengan menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi.Di samping itu juga dapat mengekalkan keamanan sejagat dalam usaha untuk mengekalkan kerjasama di peringkat antarabangsa.Secara langsung dapat menjadikan negara kita sebagai warga global yang bertanggungjawab dan peka terhadap terhadap usaha untuk memupuk kesejahteraan dunia.

    Jelaskan bentuk hubungan luar Malaysia
Malaysia melaksanakan dua bentuk hubungan luar dengan negara-negara lain iaitu hubungan bilalteral dan multilateral. Hubungan bilateral merujuk pada hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu, contohnya hubungan Malaysia dengan Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.Selain itu hubungan luar juga diadakan dengan negra ASEAN yang lain, Amerika Latin. Afrika, Asia Barat serta negara maju seperti Britian dan Amerika Syarikat. Hubungan multilateral pula merujuk pada hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan seperti Persatuan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Komenwel, Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

     Huraikan latar belakang dasar luar Malaysia
Dasar luar Malaysia mempunyai matlamat tersendiri iaitu berbaik-baik dengan semua negara.Matlamat dasar luar Malaysia ialah menjamin keselamatan rakyat dan negara dan mengekalkan kedaulatan negara.Selain itu dapat memelihara kepentingan nasional dengan menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi.Di samping itu juga dapat mengekalkan keamanan sejagat dalam usaha untuk mengekalkan kerjasama di peringkat antarabangsa.Secara langsung dapat menjadikan negara kita sebagai warga global yang bertanggungjawab dan peka terhadap terhadap usaha untuk memupuk kesejahteraan dunia.
Malaysia melaksanakan dua bentuk hubungan luar dengan negara-negara lain iaitu hubungan bilalteral dan multilateral. Hubungan bilateral merujuk pada hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu, contohnya hubungan Malaysia dengan Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.Selain itu hubungan luar juga diadakan dengan negra ASEAN yang lain, Amerika Latin. Afrika, Asia Barat serta negara maju seperti Britian dan Amerika Syarikat. Hubungan multilateral pula merujuk pada hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan seperti Persatuan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Komenwel, Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

          Jelaskan asas-asas penggubalan dasar luar Malaysia
i)      Faktor sejarah
ii)     Faktor ekonomi
iii)    Faktor politik
iv)   Faktor geografi
v)    Faktor demografi
@
Terangkan faktor yang menjadi asas penggubalan dasar luar Malaysia.
                 @
Bagaimana faktor ekonomi mempengaruhi asas penggubalan dasar luar Malaysia.          
Asas-asas Penggubalan Dasar Luar Malaysia
Penggubalan dasar luar luar Malaysi dipengaruhi oleh beberapa faktor yang menentukan corak dan arah dasar luar negara.Faktor-faktor berkenaan ialah sejarah, ekonomi, politik, geografi dan demografi.

Faktor Sejarah
Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka telah terjalin hubungan dengan negara luar seperti China, Arab, Siam dan juga negeri-negeri di Kepulauan Melayu dalam bentuk hubungan perdagangan.Pada masa ini telah terjalin hubungan Melayu serumpun di Kepulauan Melayu seperti dengan Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel dan meneruskan hubungan diplomatik dengan Britian dan negara Komenwel lain seperti Australia dan New Zealand. Pada masa itu, Malaysia sedang diancam oleh fahaman komunis yang disebarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).Ancaman komunis ini menggugat keselamatan negara Malaysia dan dengan ini mendorong Malaysia mengamalkan dasar luar yang pro-Barat dan antikomunis. Pada masa yang sama, Malaysia masih bergantung kepada kuasa Barat kerana Malaysia belum mempunyai keupayaan pertahanan .

Faktor Ekonomi
Malaysia merupakan negara yang mengamalkan pasaran bebas dan menjalin hubungan baik dengan negara-negara lain di dunia dalam usaha memajukan ekonominya.Sejak zaman penjajah British lagi Malaysia merupakan antara negara pengeluar utama bijih timah dan getah. Pada masa ini  telah terjalin hubungan ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara maju seperti Britian dan Amerika Syarikat.  Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia masih mengharapkan pasaran dan juga modal dari negara-negara tersebut.Beberapa langkah telah diambil bagi menggalakkan pelaburan asing.Langkah ini diharapkan dapat meningkatkan ekonomi negara di samping menyediakan peluang pekerjaan. Menjelang tahun1980-an , melalui Dasar Pandang Ke Timur, pelaburan asing juga digalakkan dari negara-negara di Timur  terutama  Jepun dan Korea. Pada masa yang sama, Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara-negera sedang membangun dan  negara-negara Islam bagi meningkatkan pasaran barangan keluaran  Malaysia di samping mengadakan pelaburan di negara berkenaan.


Faktor politik
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, Malaysia berhak menentukan hala tuju masa depannya sendiri berdasarkan prinsip-prinsip keamanan sejagat.  Dasar luar Malaysia juga  menekankan pemeliharaan kedaulatan negara-negara lain. Contohnya dasar Malaysia yang menyokong Palestin bagi mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat.Malaysia juga berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi memelihara keamanan dunia.Oleh itu Malaysia tegas dengan pendiriannya menyokong semua resolusi yang telah diambil oleh PBB bagi mencapai dan mengekalkan keamanan dunia.

Faktor Geografi
Malaysia mempunyai kedudukan yang strategik di Asia Tenggara dan bersempadan dengan negara  seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei. Perairannya juga menjadi laluan utama kapal-kapal perdagangan di dunia. Dengan itu, keselamatan negara serantau akan mempengaruhi dan meninggalkan kesan terhadap keselamatan Malaysia.

Faktor Demografi
Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara Islam sejajar dengan penduduknya yang majoriti beragama Islam.Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel disebabkan dasar negara berkenaan menceroboh dan menindas peribumi Palestin.

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan budaya hidup dan agama masing-masing. Amalan konsep perpaduan dan sikap komited terhadap hak asasi manusia  menyebabkan Malaysia menentang keras Dasar Aparteid yang diamalkan di Afrika Selatan. Malaysia juga tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara berkenaan sehinggalah undang-undang dasar apartheid itu dihapuskan oleh kerajaan Afrika Selatan. Oleh itu, faktor kepelbagaian kaum di negara ini amat mempengaruhi  penggubalan dasar luar Malaysia.




     PERKEMBANGAN DASAR LUAR
1. Jelaskan tahap perkembangan dasar luar Malaysia dari
tahun 1957 hingga tahun 2003
(i)Tahap Pertama (1957-1970)
(ii)Tahap Kedua (1972-1981)
(iii)Tahap Ketiga (1981-2003)

2. Jelaskan perkembangan dasar luar negara kita dari tahun
1957 hingga tahun 2003
(i)   Dasar Pro-Barat
(ii)  Dasar Berkecuali
(iii) Dasar kepentingan Ekonomi

3. Jelaskan perkembangan dasar luar Malaysia era kepimpinan              

(i) Tunku Abdul Rahman (1957-1970)
(ii) Tun Abdul Razak (1972-1976) dan Tun Hussein Onn
(1976-1981)
(iii)Tun Dr Mahathir Mohamad (1981-2003)

(i) Tahap Pertama / Dasar Pro-Barat / Tunku Abdul  Rahman

Dasar luar Malaysia pada tahap pertama memperlihatkan dasar pro-Barat yang antikomunis serta dasar berbaik-baik dengan negara jiran dan Komanwel.Dasar luar berkenaan dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman disebabkan faktor politik, ekonomi dan sosial.Faktor politik merujuk pada ancaman komunis di negara-negara Asia Tenggara dan juga di dalam negara melalui Parti Komunis Malaya.Oleh itu, Malaysia memerlukan bantuan pertahanan daripada negara-negara Komanwel terutama Britain, Australia dan New Zealand.
Bagi menyekat perkembangan pengaruh Komunis, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Pertahanan Inggeris-Tanah Melayu atau Anglo-Malayan Defence Treaty (AMDA) pada tahun 1956.Mengikut perjanjian ini pihak British akan memberikan bantuan kepada Malaysia sekiranya diserang oleh mana-mana negara.
Di samping itu, dasar luar Malaysia juga adalah berbaik-baik dengan negara jiran. Hal ini disebabkan timbulnya krisis dengan negara jiran terutama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan seperti konfrontasi dengan Indonesia (1963-1965), terputusnya hubungan dengan Filipina (1963-1965) dan keluarnya Singapura  daripada Malaysia (1965). Usaha-usaha untuk memelihara hubungan dengan negara jiran terbukti melalui beberapa perjanjian. Malaysia telah menandatangani perjanjian menubuhkan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASA) pada tahun 1961 bersama-sama Thailand dan Filipina, MAPHILINDO pada tahun 1962 bersama-sama Indonesia dan Filipina serta ASEAN pada tahun 1967 bersama-sama Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.
Faktor ekonomi pula memperlihatkan pergantungan Malaysia kepada Britain dalam menjaga kepentingan ekonomi negara ini. Pertama, hal ini disebabkan Malaysia merupakan anggota blok sterling yang menjalankan urusan perdagangan dalam nilai mata wang paun sterling. Kedua, Malaysia masih memberikan tumpuan kepada dua hasil utamanya, iaitu bijih timah dan getah dengan mengharapkan sepenuhnya permintaan daripada negara Barat termasuk Britain.Ketiga, pelabur Britain masih menguasai peratus yang besar dalam ekonomi Malaysia terutama dalam bidang perladangan dan perindustrian.
Bagi mengurangkan pergantungan ini, Malaysia yang mengamalkan pasaran bebas mula membina rangkaian perdagangan dengan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Singapura dan Jerman Barat bagi mengurangkan pergantungan kepada Britain dan bagi mencari pasaran baru.

(ii) Tahap Kedua / Dasar Berkecuali /  Tun Abdul Razak (1972-1976) & Tun Hussein Onn(1976-1981)

Menjelang tahun 1970-an, dasar luar Malaysia mula berubah kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara.Perubahan dasar luar ini disebabkan kurangnya peranan yang dimainkan oleh AMDA dan kurangnya pengaruh Britain di Timur.Perubahan dasar ini juga disebabkan oleh pergolakan yang berlaku di Vietnam yang melibatkan dua kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat dan China.
Bagi mencapai matlamat dasar luar Malaysia, beberapa usaha telah dilakukan seperti mengisytiharkan konsep Zon Aman, Bebas dan berkecuali(ZOPFAN) bersama-sama dengan anggota negara ASEAN. Malaysia juga telah menjalin hubungan diplomatik dengan negara berfahaman komunis seperti China, Jerman Timur, Korea Utara, Vietnam Utara dan Mongolia. Malaysia turut mengadakan hubungan diplomatik dengan Vietnam pada tahun 1976.Masalah pelarian Vietnam di Malaysia dapat diatasi dengan kerjasama negara-negara jiran.

(iii) Tahap Ketiga / Dasar Kepentingan Ekonomi / Tun Dr Mahathir Mohamad(1981-2003)

Tahap ini masih mengekalkan dasar-dasar tahap kedua tetapi memberikan penekanan kepada kepentingan ekonomi yang berkaitan dengan isu-isu perdagangan, pelaburan dan pembangunan terutama dalam kalangan negara membangun.Bagi mencapai matlamat tersebut, Malaysia telah mengadakan hubungan yang lebih erat dengan negara-negara ASEAN seperti menyelesaikan krisis Vietnam dan Kampuchea.
Dasar Pandang ke Timur telah diperkenalkan pada tahun 1982 dengan menggunakan Jepun dan Korea Selatan sebagai model bagi membangunkan negara Malaysia.Dasar ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil dan menerima pakai nilai-nilai yang baik seperti semangat mencintai negara, kesungguhan dalam pekerjaan dan etika pengurusan kerja yang baik.
Malaysia juga telah mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara-negara lain menerusi lawatan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad ke negara Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Dalam setiap misi lawatannya, misi perdagangan Malaysia akan turut serta dan menandatangani perjanjian perdagangan dua hala yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Terangkan kejayaan yang dicapai Malaysia hasil hubungan dengan negara luar
@
Dasar luar negara yang diamalkan sejak tahun 1957 hingga kini berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati.Buktikan.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen yang mementingkan hubungan baik antara negara-negara luar.Situasi ini membawa kepada penggubalan dasar luar daripada sebuah negara yang anti-komunis kepada negara berkecuali. Situasi ini membolehkan  Malaysia menjadi sebuah negara yang membangun dari sudut ekonomi dan dapat menjadi sebuah negara yang mampu bersaing dengan negara-negara yang sudah membangun.
Hasil daripada mengambil sikap berkecuali ini juga Malaysia telah dipanggil untuk menyertai pasukan pendamai di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan Perang Saudara di Congo.Pada tahun 1989, Malaysia terpilih sekali lagi mewakili pasukan pengaman PBB ke Namibia bagi membantu Namibia mencapai kemerdekaan.Pada tahun 1990-an, Malaysia telah menghantar pasukan pemerhati bagi meleraikan pergolakan-pergolakan di luar negara seperti Krisis Sempadan Iran-Iraq dan Kampuchea serta menghantar pasukan pengaman ke Bosnia.
Malaysia sebagai sebuah negara yang istimewa memiliki kepelbagaian amalan etnik dan kaum menyebabkan Malaysia mengalu-alukan amalan yang toleran dalam hubungan sesama kaum.Hasilnya, Malaysia mengutuk penindasan yang berlaku melalui amalan-amalan yang tidak berperikemanusiaan seperti memutuskan hubungan dengan Afrika Selatan akibat daripada amalan dasar apartheid di negara tersebut.Malaysia juga mengutuk penindasan yang dilakukan kaum Serb terhadap rakyat Bosnia.Situasi ini membantu mengukuhkan hubungan perpaduan kaum dalam negara dan seterusnya merapatkan hubungan Malaysia dengan negara-negara luar.
Keterlibatan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa juga giat berlangsung. Malaysia pernah menjadi tuan rumah bagi persidangan-persidangan yang membuahkan hasil keputusan berkaitan kepentingan negara-negara anggota seperti Mesyuarat Commonwealth Head of Governments Meeting (CHOGM) yang telah membuahkan keptusan melalui Deklarasi Langkawi 1989. Deklarasi ini juga berhubung kait dengan soal tanggungjawab negara-negara Komanwel dalam mengawal dan mengatasi masalah pencemaran.
Kesimpulannya¸ dasar luar yang terbentuk membawa kejayaan-kejayaan seperti keamanan dunia terhasil hasil daripada penggubalan dasar berbaik-baik dengan negara luar. Situasi ini juga dapat mengharumkan nama baik negara kita hasil daripada sumbangan-sumbangan yang Malaysia berikan pada peringkat antarabangsa.

Mengapa dasar luar Malaysia sentiasa berubah mengikut peredaran masa ?

Dasar luar Malaysia sentiasa berubah mengikut peredaran masa bergantung kepada kepimpinan negara.Pada masa pentadbiran Tunku Abdul Rahman, dasar luar adalah pro Barat, tetapi kemudiannya telah berubah semasa pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.Dasar luar Malaysia berubah kepada dasar berkecuali iaitu dasar berbaik-baik dengan semua negara disebabkan kurangnya peranan AMDA dan pergolakan di Vietnam yang melibatkan dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan China.

            Malaysia juga telah mengisytiharkan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali bersama-sama ASEAN dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara berfahaman komunis seperti China, Jerman Timur.Keadaan ini bertujuan mewujudkan hubungan berbail-baik dengan semua negara.

            Selain itu, dasar luar sentiasa berubah kerana kepentingan ekonomi seperti perdagangan, pelaburan dan pembangunan terutama dalam kalangan negara membangun.Malaysia telah mengadakan hubungan yang lebih erat dengan negara-negara Asean seperti Singapura dan Thailand.Keadaan ini telah meningkatkan nilai perdagangan negara kita.

            Seterusnya semasa pemerintahan Dato’ Seri Dr Mahathir juga telah memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur pada tahun 1982 dengan menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai model bagi membangunkan Malaysia. Perubahan ini mendorong peningkatan pelaburan dari negara berkenaan yang membawa kepada perkembangan ekonomi Malaysia.


Perubahan dasar luar Malaysia juga telah mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara lain seperti dengan Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Melalui misi perdagangan yang turut serta dalam siri lawatan tersebut, Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan dua hala yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Jelaskan kepentingan dasar luar yang diamalkan oleh Malaysia demi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.
@
Jelaskan kepentingan dasar luar Malaysia dalam meningkatkan ketamadunan bangsa dan negara.
Kepentingan dasar luar yang diamalkan oleh Malaysia ialah kestabilan politik negara dapat dikekalkan. Keadaan aman dalam negara akan menjamin keselamatan rakyat dan negara. Selain itu hubungan diplomatik dengan negara luar dapat diperkukuhkan dan persefahaman dapat dipupuk. Keadaan yang aman juga akan menarik pelabur-pelabur asing datang ke negara kita. Dengan pertambahan kemasukan pelabur asing, ekonomi negara akan berkembang pesat dan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Keadaan ini juga turut meransang kemasukan tenaga kerja dari luar yang diperlukan untuk mempercepatkan pembinaan projek-projek mega seperti pembinaan Menara Berkembar Petronas.
Selain itu, syarikat-syarikat  tempatan juga dapat membuat pelaburan di negara-negara Dunia Ketiga, seperti yang dilakukan Petronas di Vietnam .
Dasar luar negara juga penting untuk mengekalkan kedaulatan negara.Dasar berbaik-baik dengan semua negara dapat mengelak pertelingkahan berlaku dengan negara jiran.Segala konflik dengan negara jiran diselesaikan melalui rundingan atau melalui mahkamah antarabangsa, contoh isu Pulau Batu Putih.
Dasar luar negara juga penting untuk kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Hubungan yang erat dengan negara-negara maju memudahkan pemindahan teknologi moden ke dalam negara. Kemajuan dalam bidang teknologi diperlukan dalam pembinaan LRT / MRT, empangan hidro elektrik dan sebagainya. Kemajuan teknologi yang dimiliki oleh Kereta api Tanah Melayu mendapat kepercayaan Arab Saudi sehingga diberi peluang untuk mengendalikan sebahagian perkhidmatan kereta api di sana.

Sebagai rakyat Malaysia adakah anda bersetuju Malaysia perlu  menjalinkan hubu gan luar dengan Negara lain tanpa mengira ideilogi Negara tersebut.?
@
Pada pendapat anda mengapa Negara kita perlu berbaik-baik dengan Negara luar?

Ya, sebagai rakyat Malaysia memang saya bersetuju perlunya Malaysia menjalinkan hubungan dengan Negara luar tanpa mengira ideologi. Malaysia terpaksa memilih berbaik dengan semua Negara kerana setelah kurangnya  peranan yang dimainkan oleh  AMDA (Anglo – Malaysian Defence Treaty). Malaysia juga tidak boleh lagi mengharapkan peranan yang dimainkan oleh Britain dalam menjamin keselamatan Malaysia, kerana Britain telah mengurangkan pengaruhnya di Timur. Oleh itu Malaysia berbaik-baik dengan Negara mengamalkan ideology kumunis, seperti Republik Rakyat China. Dengan berbaik=baik dengan semua Negara ini Malaysia dapat membangunkan ekonominya dengan sempurna. Barangan kumuniti dapat dipasarkan ke Negara barat dan ke Negara Republik China. Dengan ini pendapatan Negara meningkat.

Hubungan yang erat dengan banyak Negara ini Malaysia dikunjungi oleh ramai pelancung, justeru pertukaran wang asing semakin meningkat, dengan ini menjana ekonomi Negara. Peluang  pekerjaan dalam industry pelancungan semakin meningkat. Malaysia juga berbaik-baik dengan Negara serantau, dengan menubuhkan ASEAN, dengan adanya pertubuhan ini  telah mengekalkan kesetabilan politik Malaysia. Aktiviti perdagangan dua hala juga dapat dijalankan dengan Negara anggota ASEAN.

Saya juga percaya apabila berbaik-baik  dengan semua Negara Malaysia dapat bertukar teknologi dengan membawa pelabur asing masuk ke Malaysia, dengan ini membantu mengstabilkan ekomomi Negara. Dengan cara ini juga Malaysia dapat membawa masuk modal asing untuk di gunakan dalam Negara.

Dalam bidang social pula Malaysia dapat bertukar-tukar maklumat melalui pertukaran siaran Tv dengan Negara ASEAN.

Bila berbaik-baik dengan semua Negara, Malaysia juga dapat mengamalkan pasaran bebas kerana tidak terikat dengan mana-mana Negara, kerana kita mengamalkan kemesraan dengan semua Negara tanpa terikat dengan mana-mana ideologi

Malaysia juga berbaik-baik dengan Negara-negara Islam dengan menyertai Pertubuhan OIC. Hubungan baik ini barangan dagangan Malaysia dapat dipasarkan di Negara-negara Arab. Malaysia juga mendapat hak keistimewaan dari Negara Arab dalam urusan Jemaah haji ke Mekah.

Akhirnya  dasar luar Malaysia yang mengamalkan dasar Aman, Bebas dan Berkecuali, Malaysia dihormati oleh Negara luar, justeru Malaysia dapat mengekalkan kedaulatannya, perpadauan rakyat dalam Negara dapat diperkukuhkan. Tambahan lagi dengan Dasar Padang Ke Timur, Malaysia dapat mengamalkan budaya orang Jepun yang menepati masa, rajin dan berintergiti yang tinggi dalam kehidupan.

Sambungan  - lihat entri seterusnya ..


Kertas 3 SPM 2016


Berikut antara jangkaan soalan-soalan Tugasan Spesifik Kertas 3 SPM 2016 hasil perbincangan Jurulatih Utama dan Guru-Guru Cemerlang Kelantan.


Tabik kepada mereka. Ucapan terima kasih kepada mereka kerana menambah lagi kepelbagaian jangkaan soalan yang boleh dijadikan panduan kepada adik-adik pelajar yang akan menduduki SPM tak lama lagi.

Moga adik-adik beroleh manfaat ... dan terus mengumpul kepelbagaian sumber lagi ...


BIL
TAJUK
1
Matlamat dasar luar
2
Bentuk hubungan luar
3
Latar belakang hubungan luar
4
Asas penggubalan dasar luar
i)      Faktor sejarah
ii)     Faktor ekonomi
iii)    Faktor politik
iv)    Faktor geografi
v)     Faktor demografi
5
  Perkembangan dasar luar

  Jelaskan  tahap perkembangan dasar luar Malaysia dari   
  tahun 1957 hingga tahun 2003
(i)  Tahap Pertama (1957-1970)
(ii) Tahap Kedua (1972-1981)
(iii)Tahap Ketiga (1981-2003)

  Perkembangan dasar luar negara kita dari tahun 1957  
  hingga tahun 2003
(i)   Dasar Pro-Barat
(ii)  Dasar Berkecuali
(iii) Dasar kepentingan Ekonomi

Perkembangan dasar luar negara kita dari tahun 1957 hingga tahun 2003
(i) Tunku Abdul Rahman (1957-1970)
(ii) Tun Abdul Razak (1972-1976) danTun Hussein Onn (1976-1981)
(iii)TunDr Mahathir Mohamad (1981-2003)
6
Terangkan kejayaan yang dicapai oleh Malaysia hasil hubungan dengan negara luar.
@
Dasar luar Negara yang diamalkan sejak tahun 1957   hingga kini berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati. Buktikan
7
Mengapa dasar luar Malaysia sentiasa berubah mengikut peredaran masa ?
8
Jelaskan kepentingan dasar luar yang diamalkan oleh Malaysia demi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.
@
Jelaskan kepentingan dasar luar Malaysia dalam  meningkatkan ketamadunan bangsa dan negara
9
Sebagai rakyat Malaysia adakah anda bersetuju Malaysia menjalinkan hubungan luar dengan negara lain tanpa mengira ideologi negara tersebut.?
@
Pada pendapat anda mengapa negara kita perlu berbaik-baik dengan negara luar?
10
Pada pendapat anda apakah kesan sekiranya dasar luar negara tidak mantap.
11
Mengapa dasar yang mementingkan kemajuan ekonomi lebih penting pada hari ini?
12
Apakah usaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan Negara luar?
13
Cadangkan hala tuju yang sesuai bagi dasar luar negara pada masa hadapan
@
Ramalkan dasar luar negara kita pada masa hadapan.
14
Sejauhmanakah dasar luar Malaysia telah berjaya mengukuhkan perpaduan masyarakat antarabangsa.
15
Jelaskan cabaran dan  langkah Malaysia  dalam
meningkatkan keberkesanan hubungan  dengan negara
luar. pada era globalisasi hari ini
16
Iktibar yang diperolehi daripada perkembangan dasar luar Malaysia
17
Kesimpulan keseluruhan isi yang telah dibincangkan:
(a)  Pengetahuan yang diperoleh
(b)  Nilai-nilai murni dan unsur patriotisme  yang diperoleh
      Ke arah memperkukuh keharmonian dan perpaduan
      masyarakat
(c)  Harapan menjadikan negara dan bangsa Malaysia
      lebih maju
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search