Setiap kali menjelang tahun baru ...
Menjelang
tahun baru, ramai yang menyambutnya. Samada hari pertama Januari ataupun
Muharram, Islam tidak pernah menetapkan sambutan khusus buat tahun baru. Tiada
ibadat khas sempena tahun baru seperti solat tahun baru, atau puasa tahun baru.
Ya, tidak menjadi masalah jika manusia ingin menyiapkan diri mereka menghadapi
tahun baru. Mungkin mereka ingin menetapkkan sasaran, perancangan dan idaman.
Jika
perancangan itu untuk kebaikan, seseorang akan memperolehi pahala. Begitulah
sebaliknya. Jika tahun baru tidak datang pun, waktu dan hari tetap terus
berputar dan tiada bezanya antara tahun lepas dan tahun ini. Ia terus berjalan
seperti biasa sehingga sampai detik ia berhenti.
Umur
setiap kita akan terus bertambah, samada menjelang tahun baru ataupun tidak.
Jika tidak bertambah tahun, ia bertambah bulan. Jika tidak bertambah bulan, ia
bertambah hari. Jika tidak bertambah hari, ia bertambah jam dan minit dan akan
terus meningkat ke hari, bulan dan tahun.
Sementara
perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang
pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan
di persada masa.
Ya,
hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan
berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan
waktu dan hari. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Samada
manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia
tetap menjelang.
Demikian
juga, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan
mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah
berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang
dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.
Maka,
entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah
berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa
ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan
pengemis yang merintih simpati.
Demikian
juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau
diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh
berubah menjadi kusam dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh
bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi
orang tua yang mengah. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek.
Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.
Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
p/s: Utk teman-teman
dan juga pelajar-pelajar di luar sana .. “Selamat menyambut dan mengisi Tahun
Baru. Moga kita semua sentiasa mendapat keredhaan dan rahmat dariNya.”
… sekadar
merenungi bicara kata Dr. Asri … Kebaikan jangan
ditangguh, keburukan jangan ditanggung …
0 comments:
Post a Comment